Anak-anak hirup kuah, ayah kahwin lain

anak

” );
(function() {
var nn = document.createElement(‘script’); nn.type = ‘text/javascript’;
nn.src = ‘http://synad2.nuffnang.com.my/lr.js’;
var s = document.getElementsByTagName(‘script’)[0]; s.parentNode.insertBefore(nn, s.nextSibling);
})();

DCCK  25 JAN 2015

“SEMUA orang bersimpati dan sedih dengan kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang dikurung oleh bapanya sendiri dalam sebuah rumah tanpa air dan elektrik, di Butterworth, baru-baru ini. Ketika ditemui berat badannya cuma 8 kg berkemungkinan dia tidak diberi makan sejak bulan November lalu. Dan pembaca tentu ingat kes budak lelaki OKU ditinggalkan ibunya tanpa makan minum secukupnya di sebuah rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.

“Jika pembaca fahami dan kaji kedua-dua kes itu berkaitan dengan masalah rumah tangga. Berkemungkinan si ayah kurung anaknya setelah berkahwin baru dan mungkin anak ini tidak disukai oleh isteri barunya. Mungkin. Sementara budak lelaki OKU itu ditinggalkan sendirian  kerana ibunyua perlu bekerja bagi menyara anaknya yang lain kerana ditinggalkan suaminya.

“Persoalannya kenapa kejadian ini berlaku? Memang keterlaluan jika saya katakan kerana si ayah tak matang dan tak bertanggungjawab, mungkin juga kerana kesusahannya kerana tidak ada kerja tetap. Namun jika tidak mampu mengapa berkahwin lebih daripada satu,’’Itu soalan yang ditanya oleh Siti Noraini dalam sms yang dihantarkan kepada penulis dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini.

“Nasib baik ada guru yang prihati dan membuat laporan polis, jika tidak mungkin kanak-kanak perempuan itu mati kebuluran. Tetapi tahukah kita berapa ramai lagi anak-anak menghadapi masalah seperti itu? Suami gaji kecil tapi nak kahwin lagi, bila tak dapat cara betul kerana dia tahu tak layak, maka dia nikah sindikit, yang jadi mangsa isteri dan anak-anak.

“Pembaca lelaki jangan nafikan perbuatan kaum anda yang tak bertanggungjawab itu jadi punca ramai wanita sakit jiwa. Kerana si isteri tak bekerja, tak ada duit, dan suami tinggalkan tanpa nafkah atau beri nafkah ala kadar sedangkan anak 3 atau 4 orang masih kecil nak makan, nak susu, apa si ibu nak suapkan? Tambah-tambah jika tinggal di bandar. Miskin bandar lebih serius masalahnya daripada miskin di kampung.

“Sebabnya, jika di kampung ada nekek atau saudara mara boleh perhati dan tengokkan anak-anak ketika si ibu keluar bekerja, tetapi jika di bandar, siapa yang nak tolong? Duduk kampung anak-anak ke sekolah boleh jalan kaki kalau di bandar, kena naik bas. Mana nak cari duit? Sedangkan makan pun selalu tak cukup!

“Mungkin pembaca persoalkan si isteri boleh cari kerja. Betul boleh cari kerja.Tetapi siapa nak jaga anak yang masih kecil jika ditinggalkan di rumah? Jiran tak mahu bantu kalau tak diupah, ada juga jiran bekerja. Jadi masing-masing ada masalah sendiri. Suami kalau tak ceraikan isteri dia pergi balik rumah sesuka hati. Dia fikir RM30 yang diberi mencukupi untuk  seminggu dua. Akhirnya tentulah bubur jadi penyelamat anak-anak daripada kebuluran.

“Biar saya berterus terang di sini, ambil kes saya sebagai contoh. Saya ada 4 orang anak. Suami mula buat hal bercinta hingga lupakan rumahtangga ketika saya lahirkan anak kedua. Saya sabar sebab saya tak ada kerja, dan bergantung hidup kepadanya.

“Masa bercinta memanglah semuanya baik. Masuk anak ketiga miang dan gatalnya tambah tenat. Puas saya nasihat, merayu dan menyembah dia supaya fikirkan masa depan anak-anak kalaupun dia bencikan saya. Tetapi saya pulak yang kena tengkeng dan ditampar. Namun saya  sabar hingga dapat anak keempat. Masa mengandung suami beritahu dia sudah nikah di sempadan. Saya menangis dan meraung.

“Ketika itu hidup saya anak beranak memang terseksa. Makan minum ala kadar, duit selalu tak ada, hinggakan anak saya tak pernah masuk tadika sebab tak ada duit. Kata suami, dulu dia pun tak masuk tadika boleh belajar jugak. Dia suruh saya sendiri ajar anak-anak. Lagi pun katanya saya tak bekerja duduk rumah tahu minta makan, hanya menyusahkan dia.
“Bila dia dah kahwin lain, hidup kami tambah terseksa, kalau dulu ada juga dia balik seminggu sekali. Tapi lepas kahwin, dia balik sebulan sekali. Dia tak peduli anak-anak cukup makan atau tidak, dia beri RM100 sebulan cukup ke untuk makan kami lima beranak? Nasib anak saya susukan sendiri jika tidak mati kering anak saya ni.

“Lebih teruk dia sering lewat bayar sewa rumah sedangkan rumah flat bandaraya bukan mahal sangat. Itupun dia tak mahu bayar apa lagi bil air dan elektrik. Dia suruh saya jimat untuk hidup. Kerana terlalu terdesak anak-anak nak makan dan ke sekolah saya terpaksa bekerja jaga anak orang. Mula-mula memang susah. Pernah saya tebalkan muka minta ibu anak tersebut pinjamkan saya duit sebab saya tak ada beras nak masak untuk beri anaknya makan tengah hari.

“Nasib dia bertimbang rasa. Tetapi sedihnya bila cukup bulan dia ingatkan saya anaknya tak boleh makan telor setiap hari. Jadi kalau nak jaga anaknya saya mesti beri makanan berzat. Mana saya nak cari duit. Sedangkan duit yang diberi RM250 tak cukup untuk menampung hidup kami. Akhirnya saya terpaksa beli seekor ikan kembung sehari untuk anaknya makan. Sedangkan anak-anak saya cuma makan kuah saja. Menitik air mata saya. Tetapi saya terpaksa. Saya beri anak-anak saya makan kuah senggang ikan kembung setiap hari atau kuah ikan masak kicap. Berselera anak-anak saya makan walaupun nasi dan kuah kosong tanpa ikan.

“Masuk bulan kedua seorang ibu muda hantar dua orang anaknya untuk saya jaga. Lega sikit. Tapi saya terpaksa ambil hutang beli ikan kembung sebab bilangan anak yang makan bertambah. Nak jadikan cerita bila saya dah jaga anak orang, suami ceraikan saya kerana isterinya tak mahu bermadu dan dia mahu pernikahannya didaftarkan di negeri ini.  Semalaman saya menangis kerana memikirkan beban yang semakin bertambah bila diceraikan. Mana saya nak ambil duit nak bayar sewa rumah dan bayar air dan elektrik.

“Kalau diikutkan hati mahu saya terjun flat, biar hapus derita ini. Atau serahkan pada ayahnya biar ibu tirinya jaga. Jika saya lakukan mungkin nasib anak-anak saya jadi seperti budak kurus itu? Tetapi bila saya lihat mata 4 orang anak-anak saya ini, saya padamkan niat saya itu. Hidup mesti diteruskan. Saya bertuah kerana bilangan anak yang saya jaga sudah bertambah 4 orang. Memang riuh  rumah kami. Tetapi saya bersyukur anak-anak saya faham masalah saya dan mereka sama membantu menjaga anak-anak tersebut.

“Apa yang lebih menarik anak-anak jagaan saya sayangkan saya. Ada kalanya mereka tidur di rumah saya kerana suka bermain dengan anak-anak saya. Saya lihat mereka walaupun kecil sudah pandai mengenal huruf dan tahu mengira. Pasti ibu masing-masing gembira. Bila si ibu puas hati hidup kami tambah senang, saya tak perlu beli pakaian, mereka beri pakaian terpakai anak-anak mereka untuk anak-anak saya. Kalau bulan puasa dan Hari Raya makan minum anak-anak saya lagi mewah. Sebab mereka beri sebungkus dua lauk untuk kami. Syukur! Saya tumpang masak nasi sahaja.

“Saya juga bersyukur dengan bantuan jiran, saya dapat rumah flat yang saya duduk itu atas nama saya sendiri bukan nama bekas suami lagi. Lebih menarik sewa bulanan dibayar oleh  Baitulmal. Semua atas bantuan jiran. Nasihat jiran saya mesti jimat dan simpan duit untuk anak-anak, sebab mereka suka anak-anak saya pandai dan mendengar kata.

“Kini walaupun dua orang anak saya sudah masuk sekolah menengah berasrama penuh, tetapi saya masih lagi bekerja menjaga anak-anak orang. Inilah kerja saya untuk menampung hidup dan

membesarkan 4 orang anak yang bersekolah. Walaupun saya sudah diceraikan, hingga kini saya tak pernah dapat nafkah anak dari bekas suami. Walaupun jiran cadangkan saya buat tuntutan nafkah, kerana nafkah tanggungjawab suami.

“Tetapi jika saya turun naik mahkamah berpuluh kali pun belum tentu bekas suami beri nafkah. Lagi pun jika saya naik mahkamah siapa nak jaga anak-anak jagaan saya ini, mereka punca rezeki saya. Saya tak mahu menganiaya amanah yang diberikan oleh ibu mereka, malah mereka yang membantu saya selama ini.

“Saya tak salahkan mahkamah syariah, tetapi bekas suami saya yang tidak bertanggungjawab menjaga amanah yang diberikan oleh Allah. Mungkin dia terlepas di dunia, tetapi Allah tidak pernah lupakan doa isteri yang dianiaya. Kini saya bekerja lebih keras lagi kumpul duit demi masa depan anak-anak. Saya mahu 2 orang anak perempuan saya masuk universiti dan bekerja, jangan jadi macam saya menumpang kasih dengan suami dan dibuat seperti sampah,’’ Itu cerita Siti Noraini tentang pengalaman pahitnya.

Kerana itu mahkamah syariah hendaklah membuat peraturan supaya setiap suami selepas sah ceraikan isterinya hendaklah dipotong gajinya setiap bulan untuk nafkah anak mengikut budi bicara hakim. Jika si isteri tidak setuju dia boleh tuntut ke mahkamah kemudian. Jangan seksa hidup anak-anak semata-mata kerana keseronokan si ayah beristeri baru.

 

 

 

ep2p-5small